Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta


KAHAweb 01
30 Oktober 2022 Kuala Terengganu - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2022 telah mengagihkan wang zakat kepada 26,826 keluarga dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Terenggganu. Bayaran wang tunai sekali bayar tersebut melibatkan peruntukan lebih daripada RM23.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, setiap keluarga isi rumah (KIR) asnaf menerima antara RM800 hingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan keluarga bagi membantu meringankan beban golongan terbabit yang terkesan dengan peningkatan kadar inflasi dan kenaikan harga barang.

"Isi rumah yang mempunyai tiga orang ke bawah menerima bantuan tunai sebanyak RM800 melibatkan15,713 KIR manakala bantuan tunai RM1,000 melibatkan 11,113 KIR pula diberikan kepada isi rumah seramai sekurang-kurangnya empat orang.

"Program agihan secara berkonvoi ini adalah julung kali diadakan serentak di seluruh negeri. Bagusnya program kali ini kerana kita melibatkan sama pembayar zakat yang turut berkonvoi bagi bersama-sama MAIDAM mengagihkan bantuan secara terus ke rumah penerima bantuan.

"Setiap daerah kita memilih lima keluarga asnaf miskin terpilih untuk menyerahkan bantuan tunai dan bakul makanan secara terus manakala, keluarga asnaf lain akan menerima bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

KAHAweb 02
Juara program realiti TV Mentor Milenia 2019, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjuddin atau lebih dikenali sebagai Apex Tajudin turut menyertai konvoi membabitkan sebanyak 200 motosikal dan 50 buah kereta di seluruh daerah.

Sementara itu salah seorang penerima bantuan, Wan Noriah Wan Abdullah, 54, bersyukur dan terharu dengan bantuan berkenaan yang mampu meringankan beban keluarganya menjalani kehidupan harian.

"Saya berterima kasih kepada MAIDAM kerana saat ini saya memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan bersama abang dan kakak ipar serta seorang anak saudara yang semuanya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Patah, di sini.

MAIDAM merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat, agensi-agensi kerajaan seperti JKM, YPKT, LPP, PDRM, RELA dan sebagainya, agensi swasta, bank-bank, media serta semua pihak yang turut serta menjayakan KAHA 2022.

Kredit : Harian Metro

Klik untuk Foto Program KAHA 2022
bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY