Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) buat pertama kalinya baru-baru ini, menerima kunjungan dari Korea Muslim Federation (KMF) Cawangan Busan, Korea. Delegasi yang diketuai oleh pengerusinya iaitu Encik Zubair Lee Dong Ha telah disambut oleh Yang Dipertua MAIDAM, YB. Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Haji M.Rozi bin Bidin dan juga pegawai-pegawai MAIDAM.
Tujuan dan hasrat utama lawatan dari KMF ini adalah untuk mengetahui dan berbincang dengan lebih lanjut lagi tentang Pengurusan Kutipan dan Agihan Zakat, Sistem Waqaf dan juga pengurusan Ar-Rahnu di Terengganu ini.
Selain bertukar-tukar pandangan dalam perkara di atas, perbincangan juga meliputi isu-isu semasa dan permasalahan yang dihadapi oleh orang Islam di Korea. Diharapkan dengan lawatan ini hubungan di antara kedua negara ini akan bertambah erat dan dapat memberi manfaat kepada satu sama lain.