Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan mengagihkan sebanyak 70 ekor lembu di beberapa masjid terpilih seluruh negeri ini sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata daripada jumlah itu daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing menerima sebanyak 10 ekor lembu, manakala Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun masing-masing lapan, Kemaman (tujuh) dan Marang (enam).
"Selain itu, Pusat Saudara Kita akan menerima dua ekor lembu manakala Penjara Terbuka Marang, Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam dan Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU) Taman Rahmat di Marang, masing-masing menerima agihan seekor lembu.
Selain mengagihkan lembu, MAIDAM juga menyediakan khidmat penyembelih iaitu 66 orang yang sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan imam masjid yang menerima watikah perlantikan tersebut (sebagai penyembelih) daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Program ibadah korban yang dilaksanakan MAIDAM itu telah bermula sejak 19 tahun lepas dan jumlah lembu juga akan sentiasa bertambah setiap tahun, katanya.
Beliau berkata pada tahun ini MAIDAM memperuntukkan sebanyak RM392,000 untuk ibadah korban itu berdasarkan kadar harga semasa bagi seekor lembu yang bernilai RM5,500.
"Ini termasuk bayaran imbuhan sebanyak RM7,000 kepada penyembelih iaitu kira-kira RM100 bagi setiap ekor lembu yang disembelih.
MAIDAM turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan kesemua lembu yang ingin dikorbankan ini bebas dari sebarang penyakit," katanya.
Selain ibadah korban dalam negeri, MAIDAM juga mengagihkan tiga ekor unta kepada hampir 300 penuntut Terengganu yang berada di Mesir ketika sambutan Aidiladha kali ini.
Sumber : Bernama
Published in Berita 2015