Terengganu Realisasi Bangunkan Madrasah Moden MAIDAM Yang Pertama

Kerajaan negeri merealisasikan hasrat rakyat yang semakin meningkat untuk memastikan anak-anak dapat mengikuti pengajian al-Quran dan agama secara mendalam, terancang serta kondusif apabila menubuhkan Madrasah Moden MAIDAM (Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu) yang pertama di Terengganu.


Seramai 120 pelajar lelaki perintis berusia 13 tahun yang lulus ujian kelayakan serta temuduga pada bulan lalu, mula mendaftar masuk di madrasah itu bagi memulakan pengajian pada hari ini.

Perasmian pelancaran Madsarah Moden MAIDAM Kuala Nerus itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, semalam.

Ahmad Razif berkata, pengambilan pelajar dibuat berdasarkan minat  yang mendalam untuk mendalami pengajian agama dan tidak semestinya lulus cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

“Konsep yang kita utamakan adalah bidang agama dan juga akademik kerana untuk menjadi imam, pegawai agama mereka perlu lulus SPM (Sijil Pelajaran Malaysia ).

“Jadi syarat ini kita gunakan untuk memastikan mereka dapat menjawat jawatan yang tertentu dan mendapat ilmu pengetahuan (bidang agama). Tetapi asasnya adalah dari segi aspek agama. Selain itu kita juga akan menambah pengajian menggunakan kitab-kitab lama,” katanya kepada pemberita sejurus melancarkan madrasah itu.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Dato’ Dr Mashitah Ibrahim.

Ahmad Razif berkata, madrasah moden berkenaan memberi peluang kedua kepada pelajar yang kurang bernasib baik dan tidak cemerlang dalam UPSR untuk memasuki Sekolah Imtiaz sekiranya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 nanti.

Menurutnya, madrasah moden itu juga akan mengguna pakai sistem i-Class, iaitu dilengkapi komputer dan internet secara lebih berkesan, selain terdapat makmal bahasa bagi meningkatkan penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskan madrasah moden menggunakan konsep serupa di Besut (tapak Sekolah Imtiaz, Kampung Raja) dan Hulu Terengganu (tapak Sekolah Agama Kuala Berang), bermula Januari tahun depan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mempelawa individu yang mahu mewakafkan tanah serta bangunan mereka untuk tujuan membangunkan madrasah moden yang baharu di seluruh Terengganu.

“Jika ada sesiapa yang mahu mewakafkan tanah mereka, maka kerajaan negeri menerusi MAIDAM dan pejabat agama akan menyediakan tenaga pengajar untuk menggerakkan institusi pengajian agama itu dengan lebih meluas,” katanya.

Sumber : Teganukita.my

Last modified on Thursday, 08 February 2018 15:16
Rate this item
(0 votes)

Bilangan Pengunjung

Hari ini 2789

Hari sebelum 2850

Minggu ini 8126

Bulan ini 40943

Jumlah 2705542

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag

Vote

What Is Your Opinion on MAIDAM's Official Website?