Hujan Tidak Halang 3,000 Peserta Berarak Sempena Maulidur Rasul

Walaupun hujan renyai dan cuaca mendung, kira-kira 3,000 peserta perarakan tetap bersemangat berarak sambil berselawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w dari Taman Shahbandar ke Stadium Negeri, Kuala Terengganu sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, pagi ini.


Perarakan sejauh 2.4 kilometer yang disertai 77 pasukan termasuk 20 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) turut disertai pemimpin tertinggi dan pegawai kanan kerajaan serta ketua-ketua jabatan.

Turut mengetuai  perarakan itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong serta exco-exco kerajaan negeri.

Menteri Besar dalam ucapannya sejurus selesai perarakan, mengambil kesempatan mengajak hadirin menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w bagi menegakkan agama Islam sebagai cara hidup peribadi, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

“Baginda s.a.w. juga turut berjuang dengan penuh semangat, berhikmah dan bijaksana sehingga berjaya mendirikan sebuah bandaraya Islam bernama Madinah dan juga sebuah masyarakat serta tamadun yang disegani dan dikagumi seantero dunia.

“Bertemakan `Perpaduan Nadi Transformasi Negara’, saya mengharapkan agar sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini menjadi suatu medium dalam mengukuhkan lagi perpaduan sesama kita dalam memacu Transformasi Negara umumnya dan Transformasi Terengganu Baharu khususnya,” katanya.

Turut hadir, Tengku Sri Temenggong Raja. Beliau dititahkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin membaca teks baginda sempena sambutan itu.

Ahmad Razif kemudiannya membacakan firman Allah s.w.t dari s
urah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud; 

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan kaum, agar kamu saling berkenalan (dan beramah mesra di antara satu sama lain). Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.” 


Menerusi firman Allah s.w.t tadi jelas bahawa Islam amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama.


Katanya, konsep berkenalan dalam kemajmukan iaitu sentiasa mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima, mampu mencerna masyarakat bernegara yang bersatu padu.

`Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Begitulah pepatah yang sinonim dan berkait rapat dengan perpaduan.

“Semua umat Islam mestilah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan dan jika sensitiviti itu berjaya diurus dengan pertimbangan toleransi, persefahaman dan penerimaan sepenuhnya, maka ia mampu memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada sesebuah transformasi,” katanya.

Tambah beliau,  kerajaan negeri berhasrat meneruskan usaha yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w  dalam memberi perhatian dan sentiasa berusaha memartabatkan agama Islam di negeri ini merangkumi hal berkaitan agama Islam dalam semua bidang  seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan pembangunan akan sentiasa diperkasakan dari semasa ke semasa.



Menurut beliau, dalam bidang pendidikan, mulai 2015 ini, kerajaan negeri berjaya membuka dua lagi Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Kuala Nerus dan Setiu bertujuan bagi menampung permohonan pelajar cemerlang yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun untuk memasuki sekolah berkenaan.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga telah mengeluarkan arahan penutupan premis perniagaan bagi menghormati solat fardhu Jumaat yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2015.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memandang serius dalam hal berkaitan kewajipan solat ini selaras dengan tuntutan agama seterusnya mengharapkan tanggungjawab dan kerjasama dari semua pihak bagi merealisasikan hasrat melahirkan sebuah masyarakat yang beriman selaras dengan gelaran Negeri Terengganu Darul Iman.

 

Sumber : Teganukita.my

Rate this item
(0 votes)

Bilangan Pengunjung

Hari ini 4

Hari sebelum 765

Minggu ini 5044

Bulan ini 8491

Jumlah 2617522

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Cloud Tag

Vote

What Is Your Opinion on MAIDAM's Official Website?