MAIDAM melalui Jawatankuasa Panel Peguam Syarie diamanahkan untuk mengawalselia proses penerimaan masuk Peguam Syarie negeri Terengganu.
MAIDAM melalui Jawatankuasa Panel Peguam Syarie diamanahkan untuk mengawalselia proses penerimaan masuk Peguam Syarie negeri Terengganu.
Sijil Peguam Syarie
(1) Tiap-tiap orang yang diterima masuk menjadi Peguam Syarie hendaklah memiliki Sijil Peguam Syarie sebagaimana Jadual 2 yang akan ditauliahkan kepadanya oleh Majlis setelah dia menjelaskan fi yang ditetapkan.
(2) Fi bagi setiap Sijil Peguam Syarie ialah lima ratus ringgit.
Permohonan
(1) Permohonan untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa dengan menggunakan borang yang ditetapkan dalam Jadual 1.
(2) Setiap permohonan hendaklah disertakan dengan –
(a) akuan berhubung kelakuan baik yang disokong oleh dua (2) orang pengadil yang mana hendaklah terdiri dari mereka yang berikut:
( i ) Peguam Syarie; atau
( ii ) Peguambela atau Peguamcara yang berdaftar di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166];
( iii ) Ahli Dewan Undangan Negeri;
( iv ) Ahli Parlimen; atau
( v ) Pegawai Kerajaan dalam Kumpulan A;
(b) akuan bersumpah tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil di Malaysia atau di luar Malaysia;
(c) akuan bersumpah tidak pernah diisytiharkan bankrap atau didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di bawah seksyen 33(6)(a), (b), (c), (e), (f), (h), (k) atau (l) Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360];
(d) jika berkenaan, salinan Sijil Amalan Guaman di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 [Akta 166]; dan
(e) salinan ijazah dan diploma.
Kelayakan Sebagai Peguam Syarie
(1) Mana-mana orang yang memenuhi syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi seorang Peguam Syarie –
(a) seorang yang beragama Islam;
(b) seorang warganegara Malaysia;
(c) berkelakuan baik dan –
i. tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah syariah atau sivil (di bawah Undang-Undang bertulis); dan
ii .bukan seorang yang bankrap atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di dalam perenggan 33(6) (a),(b),(c),(e),(f),(h),(k) atau (l) Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360];
(d) tidak dipecat, hilang kelayakan atau digantung atas kapasitinya sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara;
(e) (i) memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana Universiti atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di dalam subkaedah (2); atau
(ii) seorang Peguambela dan Peguamcara dan mempunyai Diploma atau Ijazah dalam bidang Undang-Undang atau Undang-Undang Syariah dari mana-mana Universiti atau Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia; dan
(f) telah lulus ujian bertulis atau temuduga atau kedua-keduanya sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
(2) Penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di bawah subperenggan (1) (e) (i) hendaklah tertakluk kepada syarat berikut:
(a) jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia selain daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dia hendaklah juga memiliki –
(i) Diploma Undang-Undang Pentadbiran dan Kehakiman Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa; atau
(ii) mana-mana Diploma Lepasan Ijazah yang setaraf dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia;
(b) jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau setaraf dengannya,
dengan syarat Jawatankuasa boleh, menurut budi bicaranya, mengecualikan apa-apa syarat yang dinyatakan di atas apabila permohonan dibuat kepadanya dengan disokong oleh keterangan yang memuaskan bahawa ada hal keadaan yang mewajarkan sesuatu syarat itu dikecualikan.
(3) Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Syariah dan Peguam Persekutuan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu atau mana-mana pegawai yang telah dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26] hendaklah disifatkan telah dilantik sebagai Peguam Syarie oleh Majlis di bawah Kaedah ini dan kaedah 17 adalah tidak terpakai bagi pegawai itu dan, pegawai itu boleh, jika tugas rasmi memerlukan, mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah.