Terengganu Bakal Bangunkan Bandar Wakaf Pertama Di Malaysia

Terengganu Cadang Bina Bandar Wakaf Pertama Di Malaysia

Terengganu bakal membangunkan Bandar Wakaf pertama di Malaysia di kawasan seluas 8.8 hektar dalam Bandar Baharu Kuala Nerus yang juga dikenali sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah, tidak lama lagi.

Pembangunan bandar baharu yang berkeluasan hampir 4,000 hektar itu melibatkan peruntukan kira-kira RM600 juta dijangka mengambil masa empat tahun setengah dengan menggunakan konsep pembangunan berpusat sepertimana Pusat Pentadbiran Putrajaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula akan membangunkan pusat perniagaan, perumahan dan hotel di Bandar Wakaf  yang akan memberi manfaat kepada golongan asnaf fakir dan miskin yang layak di Terengganu bagi menaiktaraf kehidupan golongan itu.

“Dalam kawasan itu kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan satu kawasan kepada MAIDAM bagi membangunkan Bandar Wakaf yang merangkumi pusat perniagaan, perumahan dan hotel. Buat masa sekarang kawasan meliputi 8.8 hektar dan akan diperhalusi balik oleh MAIDAM untuk menambah keluasannya pada masa akan datang.

“Konsep wakaf ini akan membantu golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan terutama pelajar dan peniaga bagi meringankan beban mereka. Peniaga akan menyewa kedai secara percuma demi membantu meningkatkan ekonomi umat Islam. Manakala pelajar universiti yang miskin boleh tinggal di kawasan perumahan (dalam bandar baharu) untuk meringankan beban kewangan mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan membayar kepada pemaju projek pembangunan bandar baharu itu secara ansuran setiap tahun sehingga tempoh 10 tahun dan tidak mengeluarkan bajet besar bagi membiayai keseluruhan projek itu.

Katanya, bandar wakaf itu pula adalah hasil cadangan MAIDAM dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama dari Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu institusi waqaf korporat pertama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Sumber : teganukita.my

 

 
 
 
Dikemaskini pada Khamis, 08 Februari 2018 15:00
Nilaikan butir ini
(0 undian)

Bilangan Pengunjung

Hari ini 499

Hari sebelum 690

Minggu ini 3911

Bulan ini 10705

Jumlah 202923

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?