Berdasarkan catatan yang ditemui, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu ditubuhkan pada tahun 1949 apabila Undang-undang Bil.1 Tahun 1949 diwartakan pada 16 Februari tahun yang sama.
Menurut warta tersebut, bahawa Yang Maha Mulia Sultan akan menyebabkan supaya dibuat Undang-Undang bagi maksud mengatur segala perkara-perkara agama dan bagi mendirikan satu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu kerana membantu dan menasihatkan Duli Yang Maha Mulia di dalam semua perkara yang bersangkut dengan Agama Islami dan Adat Istiadat Melayu.
Undang-Undang tersebut dinamakan Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1949 (1368).
Keahliannya terdiri tidak kurang daripada 3 orang ahli rasmi yang memegang jawatan yang bergaji di bawah Kerajaan Negeri dan tidak kurang daripada 5 orang ahli yang bukan rasmi.
Bagaimanapun, sepanjang Undang-Undang tersebut ditubuhkan, senarai keahlian Majlis tidak ditemui sehinggalah Undang-Undang tersebut dipinda 6 tahun kemudian iaitu dengan termaktubnya Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak Tahun 1955 (1375).
Undang-Undang ini turut menghapuskan perkataan Istiadat dan diletakkan di bahagian III di bawah fasa 6 hingga 21 dengan menampakkan peranan dan fungsi yang lebih jelas dan terarah.
Mulai dari itu (01/07/1958), telah ditemui senarai keahliannya yang diwartakan dari semasa ke semasa hingga sekarang. Pada peringkat itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu akan dilantik menjadi Yang DiPertua Majlis.
Perkara ini berlaku sehinggalah Kerajaan sekali lagi mewartakan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada 26 Mac 1987. |