Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

MAIWP serah bantuan banjir Dis 2022

KEMAMAN 29 Disember 2022 05 Jamadilakhir 1444 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima bantuan banjir daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di dalam satu majlis ringkas di perkarangan Pejabat Daerah Kemaman. MAIWP dengan kerjasama anak-anak syarikat MAIWP dan NGO telah mengadakan program Misi Bantuan MAIWP INSANI Kepada Mangsa Musibah Banjir Negeri Terengganu.

Dalam majlis tersebut, Encik Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP telah menyerahkan cek bernilai RM 1 juta beserta 1000 set barangan keperluan bernilai RM500,000.00 kepada Ustaz Nazli Amirri bin Ngah, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat) MAIDAM disaksikan oleh Encik Ahmad Farhan bin Abdul Wahab, Pegawai Daerah Kemaman.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Muhammad Fitri Daud (Hospital PUSRAWI), Datuk Khadijah Ibrahim (Penaung Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia), Encik Abd Razak bin Abd Rahman (Ketua Penolong Setiausha (Pengurusan Mal) MAIDAM) dan pegawai-pegawai dari MAIWP. Pejabat Daerah Kemaman selaku sekretariat banjir peringkat daerah akan menyelaras pengagihan bantuan tersebut kepada mangsa-mangsa banjir.

Bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat negeri Terengganu, MAIDAM merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada MAIWP di atas sumbangan bantuan tersebut. Tidak lupa juga ucapan terima kasih MAIDAM terutamanya kepada Pejabat Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta semua pihak yang menjayakan majlis penyerahan tersebut.

MAIWP Insani 02 

Serahan Bantuan Banjir LZNK 2022

MARANG 28 Disember 2022 bersamaan 04 Jamadilakhir 1444 - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini menyerahkan bantuan berbentuk 12,000 kampit beras 5 kilogram bersamaan 60,000 kilogram beras dengan muatan 2 buah treler kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di dalam Majlis Penyerahan Misi Bantuan Banjir LZNK Ke Terengganu.

Dato’ Syeikh Zakaria bin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK telah menyerahkan bantuan tersebut kepada Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu. Bantuan tersebut akan diselaras untuk diagihkan oleh JKM Terengganu. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Pengarah JPJ Terengganu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, wakil JKM, wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pegawai-pegawai LZNK dan MAIDAM turut menghadiri majlis penyerahan tersebut.

MAIDAM bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat negeri Terengganu merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada LZNK di atas sumbangan bantuan tersebut. Ucapan terima kasih juga MAIDAM kepada semua pihak yang menjayakan majlis penyerahan tersebut dan seterusnya diselaraskan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Terengganu.

  
 
 

 

McDonalds serah zakat

MAJLIS Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu berperanan sebagai sebuah institusi baitulmal yang bertindak memberi nasihat kepada Sultan Terengganu mengenai perkara yang berkait dengan hal ehwal agama Islam.

MAIDAM juga merupakan satu institusi yang membuat sebarang keputusan atau polisi berkait hal ehwal agama Islam meliputi aktiviti seperti zakat, wakaf dan sumber awam lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr Ahmad Azrin Adnan telah diberi amanah untuk memastikan instrumen kewangan Islam dapat diaplikasikan dalam lapangan sebenar bagi memberi manfaat kepada kesejahteraan umat Islam, khususnya di Terengganu.

Beliau yang sudah memegang jawatan itu untuk lapan bulan berhasrat menambah baik pengurusan pengagihan zakat kepada golongan memerlukan selain mahu melihat seorang penerima bertukar kepada pembayar zakat.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS bersama Ahmad Azrin bagi mengetahui lebih lanjut tentang cabaran, perancangan serta hala tuju MAIDAM dalam memperkasakan institusi berkenaan.

SINAR HARIAN: Ramai pakar kewangan Islam dunia mengatakan Malaysia adalah rujukan terbaik dalam pengurusan wakaf dan zakat. Apakah pendapat Dr mengenai perkara ini?

AHMAD AZRIN: Tidak dinafikan dalam konteks pengurusan zakat di Malaysia, ada banyak ruang untuk penambahbaikan yang tidak boleh dinafikan. Bagaimanapun, di sebalik kelemahan dan kekurangan itu, kita perlu mengakui ada banyak kelebihan atau keunikan yang ada menyebabkan banyak pihak luar ingin belajar pengalaman Malaysia menguruskannya.

Daripada penelitian saya, ada tiga perkara yang menyebabkan mengapa orang ingin belajar pengalaman pengurusan zakat di Malaysia. Pertama dari segi tadbir urus. Oleh kerana kita ada 14 negeri maka ada 14 cara pengurusan zakat, mengikut kesesuaian lokaliti sesuatu tempat.

Kedua saya rasa dari segi pengauditan yang berlaku ke atas semua majlis agama Islam negeri. Ia penting bagi menambah keyakinan orang ramai terhadap institusi yang menerima dana awam.

Ketiga adalah pengurusan agihan dan kutipan, ia berkait dengan peratus agihan berbanding kutipan. Apa yang dilihat adakah skor kecekapan lebihan zakat. Semakin kecil nisbah yang dapat daripada skor bermakna semakin cekap agihan lebihan zakat.

MAIDAM merupakan antara institusi yang cekap dalam agihan zakat dan dari segi kutipan jika dibuat perbandingan pada 2004 hingga 2008 bagi keseluruhan agensi mengurus zakat di Malaysia, sebanyak RM1.1 bilion berjaya dikutip. Ini memperlihatkan peningkatan 54 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian tahun berkenaan.

Apakah kelainan atau kelebihan kaedah pengagihan zakat yang dilakukan oleh MAIDAM berbanding negeri lain?

Di Malaysia ada empat model pengurusan zakat. Pertama adalah model yang tidak outsource (sumber luar) bagi kutipan dan agihan, bermakna semua aktiviti itu diletak di bawah majlis agama Islam negeri dan MAIDAM mengaplikasikan model ini.

Kedua adalah yang gunakan sumber luar untuk aktiviti kutipan sahaja dan ketiga guna outsource untuk kutipan dan agihan. Keempat ada negeri yang wujudkan satu organisasi untuk menguruskan aktiviti berkenaan menerusi enakmen zakat diwujudkan di negeri masing-masing.

Model tadbir urus di 14 negeri adalah berbeza dan sebahagian besar menggunakan yang pertama. Saya lihat negeri yang tidak mengkorporatkan aktiviti tersebut dari segi penyediaan pelaporan kewangan lebih cepat dan mudah kerana ia disatukan di bawah satu bumbung. Selain itu agihan juga lebih mudah dan ada kecekapan kos pentadbiran.

Difahamkan MAIDAM memperuntukkan RM24 juta untuk diagihkan kepada lebih 27,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2022.

Boleh kongsikan pencapaian lain pada tahun ini serta rancangan untuk 2023.

Ada banyak program sepanjang tahun ini dan kebanyakannya adalah berbentuk zakat sara diri iaitu pemberian bantuan kewangan di samping program zakat produktif yang mana kita melatih golongan asnaf untuk bertukar status daripada penerima kepada pembayar zakat menerusi aktiviti keusahawanan.

Banyak program yang dirangka seperti keusahawanan, sesi libat sama selain menganjurkan ‘Fun Ride 2022’ yang bertujuan untuk menguar-uarkan aplikasi ‘Sahabat MAIDAM’ bagi membolehkan semua pihak dapat bantuan atau maklumat termasuk melaporkan tentang asnaf.

Di samping itu, turut dianjurkan gerakan yang melibatkan pembayar zakat semasa program agihan. Biasanya pengagihan hanya melibatkan MAIDAM tetapi kali ini kita jemput pembayar zakat terpilih, terutama dalam kalangan syarikat untuk turut sama menyerahkan bantuan kepada asnaf.

Selain itu untuk tahun 2023, kita akan mewujudkan inisiatif baharu bagi memberi lebih banyak manfaat kepada golongan memerlukan seperti bantuan rumah terbengkalai.

MAIDAM juga akan perkenalkan bantuan kepada golongan asnaf gharimin iaitu menyelesaikan hutang tertunggak bagi kenderaan pertama kerana kereta dikategorikan sebagai keperluan. Program ini mendapat kerjasama daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Suka untuk saya umumkan mengenai peningkatan kadar bagi semua jenis bantuan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus. Ia melibatkan satu jumlah besar yang akan diperuntukkan oleh MAIDAM.

Malah kita akan mewujudkan jawatan penolong amil kariah dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid untuk jalankan siasatan dan pemutihan terhadap permohonan bantuan zakat baharu di kariah mereka.

Tahun 2023 dilapor akan berlakunya kemelesetan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali. Apakah sasaran agihan zakat pada tahun hadapan?

Jika dilihat pada 2020 dan 2021 ketika negara berhadapan dengan Covid-19, ramai yang buat andaian bahawa banyak syarikat tidak dapat beroperasi pada ketika itu. Namun menariknya tahun itu, graf kutipan zakat mencatatkan peningkatan, begitu juga pada 2021.

Mengambil kira apa yang berlaku pada waktu itu, 2023 ada dua faktor besar yang dijangka berlaku iaitu kemelesetan ekonomi dan peningkatan kepada kadar dasar semalaman (OPR) yang dikenakan oleh bank kepada pengguna. Akan ada kumpulan yang pendapatan boleh guna akan berkurang.

Dalam konteks zakat, hampir di semua negeri ada tiga jenis zakat yang mencatatkan kutipan besar iaitu pendapatan, perniagaan dan simpanan.

Bagaimanapun pada 2023 juga akan ada pembayar zakat baharu dalam kalangan syarikat yang menunaikan zakat perniagaan.

Berdasarkan faktor ini, kita menjangkakan tidak berlaku penurunan ketara pada zakat perniagaan. Begitu juga dengan zakat simpanan.

Kita jangka peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dan insya-ALLAH optimis dapat capai sasaran RM236 juta.

Apakah harapan Dr untuk semua penerima bantuan zakat?

Besar harapan MAIDAM untuk meningkatkan program berbentuk zakat produktif. Jadi untuk itu kami ada buat beberapa perbincangan bersama pihak lain tentang bagaimana dapat membantu asnaf fakir dan miskin supaya tidak jadi penerima.

Untuk fasa pertama, sasaran kita adalah memastikan kumpulan fakir atau golongan miskin tegar mencapai angka sifar di Terengganu untuk tempoh lima tahun akan datang seperti termaktub dalam perancangan strategik MAIDAM.

Kita nak lihat asnaf fakir bertukar kepada asnaf miskin, kita doakan agar golongan yang menerima manfaat terus mendoakan kemurahan rezeki kepada pembayar zakat sama ada individu atau syarikat kerana mereka yang sebenarnya membantu kami kerana MAIDAM hanya orang tengah sebagai pemegang amanah untuk membantu mereka yang memerlukan.

oleh DIANA AZIS 23 Disember 2022 09:00am

https://www.sinarharian.com.my/article/237431/edisi/misi-maidam-perkasa-instrumen-kewangan-islam

ps maidam 01 1

KUALA LUMPUR 18 Disember 2022 (24 Jamadilawal 1444) – Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Tahun 2023-2027 bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah diadakan dengan jayanya dari 16-18 Disember 2022 di sini. Turut serta di dalam bengkel ini ialah Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM. 

Penganjuran bengkel ini bertujuan merangka pelan perancangan strategik yang terkini bagi memperkasakan hala tuju MAIDAM sebagai institusi peneraju pengurusan baitulmal di negeri Terengganu. Bengkel selama 3 hari yang dihadiri seramai 60 orang pegawai serta kakitangan MAIDAM telah berjaya memuktamadkan visi, misi, teras strategik, strategi dan program yang akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun akan datang.

 

OACP MAIDAM

15 Disember 2022 Kuala Terengganu - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meneruskan agenda amalan integriti dan pencegahan rasuah dengan melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu bagi tahun 2022-2026.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Turut serta bagi memeriahkan majlis pelancaran tersebut ialah YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang DiPertua MAIDAM, YBrs Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Tuan Zainal Ayop, Timbalan Pengarah Operasi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dan Puan Afnida Aini Alwi, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat SUK.

Hari ini yang juga Hari Integriti MAIDAM turut diadakan satu sesi  ceramah yang bertajuk “Pengukuhan Integriti Dalam Memahami Tatacara Pencegahan Rasuah Melalui Sistem Kawalan Dalaman” yang disampaikan oleh Encik Mohd Hanafi Abd Rahim, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Terengganu. Majlis ini telah dihadiri seramai 167 orang peserta yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) MAIDAM serta warga kerja MAIDAM.

OACP MAIDAM dirangka bagi memastikan MAIDAM dapat menunaikan segala amanah dengan penuh iltizam, berintegriti, berdaya saing, telus, amanah serta patuh syariah seiring dengan peningkatan akauntabiliti dan seterusnya dapat membendung gejala rasuah di kalangan kakitangan.

Semoga pelan ini akan menjadikan MAIDAM sebagai peneraju institusi Islam yang bersandarkan kepada prinsip integriti dan tadbir urus yang cemerlang.
 
 
bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY