Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

 
Anugerah Zakat Kebangsaan 2023
 
Putrajaya 22 November 2023 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengungguli dua kategori sempena Majlis Anugerah Zakat Kebangsaan 2023 yang diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya hari ini.
 
Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrul Ifwat Ishak, Pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memenangi anugerah bagi Kategori Ikon Asnaf (Akademik) manakala Muhammad Ridzuan Ang @ Ang Soon Tian, seorang mualaf yang mengusahakan sebuah restoran pula dalam Kategori Ikon Asnaf (Usahawan).
 
Para pemenang pernah menerima bantuan zakat MAIDAM dan kini telah berjaya di dalam bidang masing-masing serta merupakan pembayar zakat kepada MAIDAM.
 
Turut diumumkan ialah penerima anugerah untuk Kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan (Lembaga Air Perak), Kategori Syarikat Sendirian Berhad (KPJ Penang Specialist), Kategori Syarikat Awam Berhad (Etiqa Family Takaful Berhad) serta Anugerah Khas (Lembaga Zakat Negeri Kedah).
 
Semua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dato' Selamat Paigo,  Ketua Pengarah, Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR). Tuan Haji Nazli Amirri Ngah, Ketua Penolong Setiausaha - Pengurusan Zakat mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan beberapa pegawai MAIDAM turut menghadiri majlis tersebut.
 
 

khairat2u

Kuala Terengganu 22 November 2023 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah berjaya meraih Anugerah 4 Bintang sempena Anugerah Persada Inovasi Tahun 2023 Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja.

MAIDAM yang diwakili oleh kumpulan Care-Technology (C-Tech) telah menyertai pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu yang telah bermula sejak Februari 2023. C-Tech merupakan salah satu kumpulan yang terpilih ke peringkat akhir daripada 17 buah kumpulan. Ini merupakan kali pertama MAIDAM menghantar wakil dalam pertandingan yang seumpama ini.

Dalam pertandingan ini C-Tech telah mengutarakan penyelesaian bagi pengurusan permohonan kelulusan pungutan khairat yang dilaksanakan secara manual selama ini kepada pengurusan secara bersistematik dan pantas menggunakan aplikasi mudah alih khairat2u. Para pemohon di kalangan pertubuhan akan lebih mudah membuat permohanan melalui aplikasi ini dan kelulusan juga akan dimaklumkan secara atas talian yang membuatkan ianya lebih cepat diperolehi. 

 

 
Kunjungan hormat kepada MB 2023
 
Kuala Terengganu 1 Jamadilawal 1445 bersamaan 15 November 2023 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu semalam. Rombongan MAIDAM diketuai oleh YB Dato' Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM.
 
Pertemuan yang cukup bermakna itu merangkumi perbincangan pelbagai aspek pembangunan untuk manfaat umat Islam di negeri Terengganu pada masa hadapan.
 
Taklimat khairat2u
 
Sejurus selepas itu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa mendengar taklimat berkaitan Sistem Pengurusan KIhairat atau dikenali sebagai ‘khairat2u’ daripada pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MAIDAM. Sistem ini telah memasuki peringkat akhir bagi pertandingan inovasi negeri Terengganu tahun 2023.
 
 
 
 Program Geran Tahunan Majikan 2023
 
Kuala Terengganu 24 Rabiulakhir 1445 bersamaan 8 November 2023 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah memperkenalkan Program Geran Tahunan Majikan mengikut zon-zon utara, selatan dan tengah. Program ini adalah sebagai galakan kepada majikan supaya kakitangan masing-masing membuat potongan gaji zakat melalui majikan. Sebagai imbalan, pihak majikan akan dapat mengambil wakalah dua bahagian untuk diagihkan di kalangan kakitangan atau pelajar-pelajar sekolah yang tergolong dalam golongan fakir dam miskin.
 
Bagi zon tengah iaitu daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu, pelancaran program telah diadakan di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Majlis dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Mal), En. Abd Razak Abd Rahman.
 
Program Geran Tahunan Majikan Zon Utara (Besut dan Setiu) telah berlangsung di Sutra Beach Resort pada 5 November 2023, manakala bagi Zon Selatan (Dungun dan Kemaman) pula ianya diadakan pada 7 November 2023 di Dewan Dato’ Sri Amar, Kemaman. Program ini mendapat sambutan dari guru-guru dan wakil-wakil institusi.
 
MAIDAM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.
 
 
 
Persaraan Idris Yunus 2
 
KUALA TERENGGANU 23 Rabiulakhir 1445 bersamaan 7 November 2023 - Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Dwi Bulanan dan Persaraan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pada hari ini.
 
Encik Abd Razak Abd Rahman, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Mal) mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM telah menyampaikan sijil penghargaan kepada seramai 23 orang penerima APC tersebut  bagi bulan Julai hingga Oktober.
 
Majlis ini juga meraikan persaraan Encik Idris Yunos, Pemandu Kenderaan MAIDAM Gred H16 yang menoktahkan perkhidmatannya bersama MAIDAM setelah menabur bakti sejak dari 1 September 1994. Sepanjang perkhidmatan, beberapa kali beliau dianugerahkan perkhidmatan cemerlang dwi-bulanan. Anugerah Perkhidmatan Cemerlamg peringkat jabatan telah diperolehi pada tahun 2019. Pada tahun ini beliau telah dianugerahkan Pingat Lama Berkhidmat (PLB) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
 
Dalam majlis yang sama juga MAIDAM meraikan pasukan badminton jabatan yang muncul juara dalam Kejohanan Badminton Pusat Zakat Negeri-Negeri 2023 (Zakat Cup) Kali Ke-10 yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur. Mereka menerima insentif tunai kemenangan daripada Kelab Amal, Rekreasi dan Sukan MAIDAM (KARISMA) daripada Encik Muhammad Abdillah Tajudin, Pengerusi KARISMA.
 
 
bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY