
21 Julai 2024 bersamaan 15 Muharam 1446 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Zakat Korporat Kali Ke-2 Tahun 2024 pada hari ini. Dalam majlis tersebut, Yang Dipertua MAIDAM, YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail telah menerima bayaran zakat perniagaan sebanyak RM11,754,105.17 daripada 33 orang perseorangan dan wakil-wakil syarikat korporat.
Menurut beliau, sehingga 18 Julai 2024 MAIDAM telah mengagihkan zakat sebanyak RM196,954,145.32 berbanding kutipan zakat sebanyak RM146,040,667.46 yang meliputi pelbagai skim agihan bantuan seperti Bantuan Sara Hidup, Bina Rumah, Persekolahan dan Perubatan bagi mengurangkan beban asnaf zakat.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM serta lain-lain pegawai MAIDAM.
MAIDAM merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menunaikan tanggungjawab membayar zakat kepada MAIDAM dan didoakan kepada semua agar dikurniakan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT serta diberkati segala harta dan perniagaan yang masih ada.
Turut diraikan dalam majlis itu penyampaian anugerah kepada tiga orang bekas asnaf zakat iaitu Anugerah Penerima Bantuan Modal Berjaya kepada Che Amran Mohammad (kedai makan dan pemborong telur, Batu Rakit), Mohd Ridzuan Sulung (peniaga Zuan Nasi Kerabu, Kubang Jela) dan Mohd Faisol bin Mohd Juhari (mekanik kereta – Pesol suspension, Pengkalan Arang).
Mereka merupakan penerima bantuan asnaf zakat untuk modal berdikari dan kini bergelar usahawan berjaya yang menjadi pembayar zakat perniagaan serta turut menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
