Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

McDonalds serah zakat

MAJLIS Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu berperanan sebagai sebuah institusi baitulmal yang bertindak memberi nasihat kepada Sultan Terengganu mengenai perkara yang berkait dengan hal ehwal agama Islam.

MAIDAM juga merupakan satu institusi yang membuat sebarang keputusan atau polisi berkait hal ehwal agama Islam meliputi aktiviti seperti zakat, wakaf dan sumber awam lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr Ahmad Azrin Adnan telah diberi amanah untuk memastikan instrumen kewangan Islam dapat diaplikasikan dalam lapangan sebenar bagi memberi manfaat kepada kesejahteraan umat Islam, khususnya di Terengganu.

Beliau yang sudah memegang jawatan itu untuk lapan bulan berhasrat menambah baik pengurusan pengagihan zakat kepada golongan memerlukan selain mahu melihat seorang penerima bertukar kepada pembayar zakat.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS bersama Ahmad Azrin bagi mengetahui lebih lanjut tentang cabaran, perancangan serta hala tuju MAIDAM dalam memperkasakan institusi berkenaan.

SINAR HARIAN: Ramai pakar kewangan Islam dunia mengatakan Malaysia adalah rujukan terbaik dalam pengurusan wakaf dan zakat. Apakah pendapat Dr mengenai perkara ini?

AHMAD AZRIN: Tidak dinafikan dalam konteks pengurusan zakat di Malaysia, ada banyak ruang untuk penambahbaikan yang tidak boleh dinafikan. Bagaimanapun, di sebalik kelemahan dan kekurangan itu, kita perlu mengakui ada banyak kelebihan atau keunikan yang ada menyebabkan banyak pihak luar ingin belajar pengalaman Malaysia menguruskannya.

Daripada penelitian saya, ada tiga perkara yang menyebabkan mengapa orang ingin belajar pengalaman pengurusan zakat di Malaysia. Pertama dari segi tadbir urus. Oleh kerana kita ada 14 negeri maka ada 14 cara pengurusan zakat, mengikut kesesuaian lokaliti sesuatu tempat.

Kedua saya rasa dari segi pengauditan yang berlaku ke atas semua majlis agama Islam negeri. Ia penting bagi menambah keyakinan orang ramai terhadap institusi yang menerima dana awam.

Ketiga adalah pengurusan agihan dan kutipan, ia berkait dengan peratus agihan berbanding kutipan. Apa yang dilihat adakah skor kecekapan lebihan zakat. Semakin kecil nisbah yang dapat daripada skor bermakna semakin cekap agihan lebihan zakat.

MAIDAM merupakan antara institusi yang cekap dalam agihan zakat dan dari segi kutipan jika dibuat perbandingan pada 2004 hingga 2008 bagi keseluruhan agensi mengurus zakat di Malaysia, sebanyak RM1.1 bilion berjaya dikutip. Ini memperlihatkan peningkatan 54 peratus jika dibandingkan dengan pencapaian tahun berkenaan.

Apakah kelainan atau kelebihan kaedah pengagihan zakat yang dilakukan oleh MAIDAM berbanding negeri lain?

Di Malaysia ada empat model pengurusan zakat. Pertama adalah model yang tidak outsource (sumber luar) bagi kutipan dan agihan, bermakna semua aktiviti itu diletak di bawah majlis agama Islam negeri dan MAIDAM mengaplikasikan model ini.

Kedua adalah yang gunakan sumber luar untuk aktiviti kutipan sahaja dan ketiga guna outsource untuk kutipan dan agihan. Keempat ada negeri yang wujudkan satu organisasi untuk menguruskan aktiviti berkenaan menerusi enakmen zakat diwujudkan di negeri masing-masing.

Model tadbir urus di 14 negeri adalah berbeza dan sebahagian besar menggunakan yang pertama. Saya lihat negeri yang tidak mengkorporatkan aktiviti tersebut dari segi penyediaan pelaporan kewangan lebih cepat dan mudah kerana ia disatukan di bawah satu bumbung. Selain itu agihan juga lebih mudah dan ada kecekapan kos pentadbiran.

Difahamkan MAIDAM memperuntukkan RM24 juta untuk diagihkan kepada lebih 27,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2022.

Boleh kongsikan pencapaian lain pada tahun ini serta rancangan untuk 2023.

Ada banyak program sepanjang tahun ini dan kebanyakannya adalah berbentuk zakat sara diri iaitu pemberian bantuan kewangan di samping program zakat produktif yang mana kita melatih golongan asnaf untuk bertukar status daripada penerima kepada pembayar zakat menerusi aktiviti keusahawanan.

Banyak program yang dirangka seperti keusahawanan, sesi libat sama selain menganjurkan ‘Fun Ride 2022’ yang bertujuan untuk menguar-uarkan aplikasi ‘Sahabat MAIDAM’ bagi membolehkan semua pihak dapat bantuan atau maklumat termasuk melaporkan tentang asnaf.

Di samping itu, turut dianjurkan gerakan yang melibatkan pembayar zakat semasa program agihan. Biasanya pengagihan hanya melibatkan MAIDAM tetapi kali ini kita jemput pembayar zakat terpilih, terutama dalam kalangan syarikat untuk turut sama menyerahkan bantuan kepada asnaf.

Selain itu untuk tahun 2023, kita akan mewujudkan inisiatif baharu bagi memberi lebih banyak manfaat kepada golongan memerlukan seperti bantuan rumah terbengkalai.

MAIDAM juga akan perkenalkan bantuan kepada golongan asnaf gharimin iaitu menyelesaikan hutang tertunggak bagi kenderaan pertama kerana kereta dikategorikan sebagai keperluan. Program ini mendapat kerjasama daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Suka untuk saya umumkan mengenai peningkatan kadar bagi semua jenis bantuan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus. Ia melibatkan satu jumlah besar yang akan diperuntukkan oleh MAIDAM.

Malah kita akan mewujudkan jawatan penolong amil kariah dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid untuk jalankan siasatan dan pemutihan terhadap permohonan bantuan zakat baharu di kariah mereka.

Tahun 2023 dilapor akan berlakunya kemelesetan ekonomi dan Malaysia tidak terkecuali. Apakah sasaran agihan zakat pada tahun hadapan?

Jika dilihat pada 2020 dan 2021 ketika negara berhadapan dengan Covid-19, ramai yang buat andaian bahawa banyak syarikat tidak dapat beroperasi pada ketika itu. Namun menariknya tahun itu, graf kutipan zakat mencatatkan peningkatan, begitu juga pada 2021.

Mengambil kira apa yang berlaku pada waktu itu, 2023 ada dua faktor besar yang dijangka berlaku iaitu kemelesetan ekonomi dan peningkatan kepada kadar dasar semalaman (OPR) yang dikenakan oleh bank kepada pengguna. Akan ada kumpulan yang pendapatan boleh guna akan berkurang.

Dalam konteks zakat, hampir di semua negeri ada tiga jenis zakat yang mencatatkan kutipan besar iaitu pendapatan, perniagaan dan simpanan.

Bagaimanapun pada 2023 juga akan ada pembayar zakat baharu dalam kalangan syarikat yang menunaikan zakat perniagaan.

Berdasarkan faktor ini, kita menjangkakan tidak berlaku penurunan ketara pada zakat perniagaan. Begitu juga dengan zakat simpanan.

Kita jangka peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dan insya-ALLAH optimis dapat capai sasaran RM236 juta.

Apakah harapan Dr untuk semua penerima bantuan zakat?

Besar harapan MAIDAM untuk meningkatkan program berbentuk zakat produktif. Jadi untuk itu kami ada buat beberapa perbincangan bersama pihak lain tentang bagaimana dapat membantu asnaf fakir dan miskin supaya tidak jadi penerima.

Untuk fasa pertama, sasaran kita adalah memastikan kumpulan fakir atau golongan miskin tegar mencapai angka sifar di Terengganu untuk tempoh lima tahun akan datang seperti termaktub dalam perancangan strategik MAIDAM.

Kita nak lihat asnaf fakir bertukar kepada asnaf miskin, kita doakan agar golongan yang menerima manfaat terus mendoakan kemurahan rezeki kepada pembayar zakat sama ada individu atau syarikat kerana mereka yang sebenarnya membantu kami kerana MAIDAM hanya orang tengah sebagai pemegang amanah untuk membantu mereka yang memerlukan.

oleh DIANA AZIS 23 Disember 2022 09:00am

https://www.sinarharian.com.my/article/237431/edisi/misi-maidam-perkasa-instrumen-kewangan-islam

bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY