Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

 
Perasmian Sambutan 75 Tahun MAIDAM 2 
 
KUALA TERENGGANU 19 September 2024 | 15 RABIULAWAL 1446H - Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan 75 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu hari ini. Keberangkatan baginda diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah dan Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
 
Keberangkatan baginda juga telah disambut oleh YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YB Dato’ Haji Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM dan Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin bin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
 
Sambutan 75 Tahun MAIDAM dengan tema "Memacu Kesejahteraan Ummah" bertujuan menghargai segala usaha dan daya pemikiran pelbagai pihak sejak tertubuhnya MAIDAM di bawah Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1949 yang diwartakan pada 16 Februari 1949.
 
Pada usia 75 tahun, MAIDAM telah menempuh pelbagai cabaran dan perubahan hasil daripada kegigihan para ulama dan umara terdahulu serta seluruh warga besar MAIDAM bersama agensi lain dengan penuh dedikasi, kesetiaan, integriti dan keikhlasan.
 
Ketika bertitah, baginda menzahirkan penghargaan kepada semua pihak sama ada individu mahupun agensi yang telah membantu MAIDAM melaksanakan fungsinya dengan cekap dan berkesan.
 
“Beta merasa gembira atas pencapaian dan transformasi yang telah berlaku sepanjang tempoh 75 tahun MAIDAM selari dengan kedudukan bahawa hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
“Beta berpandangan bahawa MAIDAM perlu berperanan secara lebih dinamik, progresif dan selangkah di hadapan. Beta amat menghargai kejayaan ini yang dicapai menerusi usaha kolektif pelbagai agensi termasuk MAIDAM. Beta merasa amat sukacita bahawa jumlah kutipan zakat di Terengganu telah berjaya diagihkan seratus peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” titah baginda.
 
Titah baginda lagi, segala usaha perlu ditambah baik dari semasa ke semasa agar tiada isu keciciran dalam kalangan individu yang layak menerima bantuan zakat di Terengganu. Baginda turut menzahirkan pengharapan agar MAIDAM terus meningkatkan lagi prestasi kecekapan pengurusan kewangan, zakat, wakaf dan baitulmal.
 
Bersempena majlis ini juga MAIDAM menyampaikan penghargaan khas kepada beberapa agensi yang menyumbang kepada Dana Wakaf MAIDAM, Dana Pembangunan Usahawan Asnaf dan Dana Bantuan Asnaf. Agensi-agensi tersebut ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dengan jumlah RM1,532,114.89, Bank Islam Malaysia Berhad (RM1 juta), Permodalan Nasional Berhad (RM536,000), FGV Holdings Berhad (RM504,495), MAIDAM Property Sdn. Bhd. (RM500,000), Tenaga Nasional Berhad (RM200,000), Yayasan Waqaf Malaysia (RM150,000) dan Pelaburan Hartanah Berhad (RM100,000).
 
MAIDAM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa membantu MAIDAM dalam melaksanakan fungsinya serta semua pihak yang membantu dalam menjayakan majlis sambutan ini .
 
 
bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY