
20 Mac 2025 - Keprihatinan 43 syarikat dalam menunaikan kewajipan zakat perniagaan terserlah dalam Majlis Penyerahan Zakat Korporat yang telah berlangsung pada hari ini. Sebanyak RM5,561,020.82 berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam satu majlis simbolik yang mencerminkan komitmen tinggi sektor korporat terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan ummah.
YBhg. Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM dalam ucapannya memaklumkan agihan zakat MAIDAM mencatat peningkatan 23.65% berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak RM318,692,071.90 telah berjaya diagihkan sepanjang tahun 2024, jauh melebihi RM257,739,867.90 pada tahun 2023. Ini membuktikan bahawa amanah yang diberikan oleh para pembayar zakat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Lebih membanggakan, kutipan zakat MAIDAM bagi tahun 2024 juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu sebanyak 8.1%, dengan jumlah keseluruhan RM275,962,960.55 berbanding RM255,304,857.90 pada tahun sebelumnya. Prestasi kutipan zakat perniagaan turut mencatat pertumbuhan positif dengan peningkatan 9.8% berbanding tahun 2023, melonjak dari RM58,402,679.53 kepada RM64,139,162.79 pada tahun 2024. Peningkatan ini membuktikan kesedaran dan kepercayaan para usahawan terhadap peranan zakat dalam memperkukuhkan ekonomi umat Islam serta membantu mereka yang kurang berkemampuan.
MAIDAM menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada semua pembayar zakat yang terus meletakkan kepercayaan penuh kepada institusi ini. Ucapan terima kasih juga diberikan kepada Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan semua pihak yang menyokong usaha MAIDAM dalam memastikan zakat sampai kepada yang berhak.
Turut diraikan dalam majlis ini ialah seramai 15 orang peserta kursus latihan anak-anak asnaf di Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang menerima tajaan MAIDAM untuk mengikuti kursus seperti kimpalan, pemasangan perancah dan pendawaian elektrik. Langkah ini diambil bagi memperkasakan kemahiran golongan asnaf agar mereka mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM serta pegawai-pegawai MAIDAM yang lain. MAIDAM mendoakan agar semua pembayar zakat diberikan ganjaran terbaik oleh Allah SWT, dipermudahkan segala urusan serta dilipatgandakan keberkatan dalam kehidupan dan perniagaan mereka. Semoga keberkatan zakat yang ditunaikan terus menjadi penyumbang kepada kesejahteraan ummah.
Bersama kita membina masa depan yang lebih cerah untuk semua!