
25 Mei 2025 - Majlis Pengurusan Zakat Negeri-Negeri (MPZN) terus membuktikan komitmennya sebagai nadi penyelarasan zakat negara apabila Mesyuarat MPZN Kali Ke-38 berlangsung dengan penuh signifikan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu hari ini.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM selaku Pengerusi MPZN bagi sesi 2024/2025 yang mengetuai perbincangan strategik melibatkan pelbagai isu utama berkaitan agihan, kutipan dan inovasi zakat di seluruh negara.
Detik penting mesyuarat menyaksikan penyerahan rasmi kepemimpinan MPZN kepada Pusat Kutipan Zakat Wakaf Pahang yang akan menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengerusi MPZN baharu bagi sesi 2025/2026 kan datang.
Perbincangan MPZN kali ini sarat dengan pertukaran pandangan bernas, pemurnian dasar serta pencarian pendekatan baharu yang mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan zakat demi manfaat umat Islam seluruh negara.
Sebagai tanda penghargaan, para delegasi diraikan dalam satu majlis makan malam yang turut dihadiri oleh Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM pada malam sebelumnya.
Semoga MPZN terus menjadi medan utama dalam merangka strategi kolektif demi menjadikan zakat sebagai instrumen kebajikan dan pembangunan ummah yang lebih menyeluruh dan berkesan.