
22 Oktober 2025 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menerima serahan zakat perniagaan berjumlah keseluruhan RM11,792,380.25 daripada beberapa syarikat korporat di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Majlis disaksikan oleh Dato’ Nara Setia (Setiausaha Kerajaan Terengganu), Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail (Yang Dipertua MAIDAM), Sahibul Samahah Dato’ Dr. Mohamad Sabri Harun (Dato’ Mufti Negeri) serta Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM).
Kumpulan Terengganu Inc. menyerahkan zakat berjumlah RM8,633,380.25 yang diwakili oleh Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun (Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan), Che Ku Hafeez Che Ku Denang (Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd.), Dr. Ts. Haji Muhtar Suhaili (Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad) dan Ana Salwati Embong (Pengurus Besar Kanan Kewangan & Korporat, SATU Sdn. Bhd.).

Etiqa Takaful Berhad turut menunaikan zakat berjumlah RM1,800,000.00 disampaikan oleh Zafri Ab Halim (Ketua Pegawai Eksekutif), Mohamad Noor Sahidi Johari (Ketua Pusat Kecemerlangan Shariah, Zakat & Amal Jariah) dan Muhamad Nurawi Abdul Rashid (Regional Director, East Coast Region).
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan zakat sebanyak RM1,359,000.00 diwakili oleh Zillatulikram Tamat (General Manager - Retail & Stakeholders-Terengganu) dan Ir. Nurmadina Yusoh (Lead - State Retail Customer & Partners Engagement-Terengganu).

MAIDAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua syarikat yang menunaikan zakat perniagaan kepada MAIDAM. Semoga ianya menjadi asbab keberkatan rezeki serta memperkukuh usaha membantu golongan asnaf di negeri Terengganu Darul Iman.