
8 Disember 2025 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu telah mengadakan Majlis Pembukaan Perkuburan Raudhatul Rahah, Paya Bunga, Kuala Terengganu di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pada hari ini.
Tanah Perkuburan Raudhatul Rahah, Paya Bunga seluas 13.2 ekar kini menjadi projek wakaf penting di tengah Bandaraya Kuala Terengganu. Sebagai tanah wakaf di bawah MAIDAM, kawasan ini dibangunkan semula selepas bertahun dalam keadaan tidak terurus sebelum tahun 2019.
Menggunakan konsep ‘Kubur Bertingkat’ dan diinspirasikan daripada Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur, projek bernilai RM3.95 juta ini mampu menampung lebih 20,000 lot kubur, lengkap dengan ruang pengurusan jenazah, pejabat pengurusan, tandas, ruang menunggu, lampu pengebumian malam, wakaf pengunjung dan kemudahan parkir kenderaan.
Pengurusan kawasan ini akan dikendalikan oleh MAIDAM Property Sdn. Bhd. Sejak dilancarkan tabung wakaf perkuburan ini, sambutan masyarakat terhadap wakaf amat menggalakkan. Sehingga 24 November 2025, kutipan Wakaf Perkuburan Paya Bunga telah mencecah RM4.08 juta, membuktikan sokongan kuat masyarakat terhadap pembangunan perkuburan Islam yang moden, teratur dan mematuhi syariah.
Majlis Pembukaan Perkuburan Raudhatul Rahah ini disempurnakan oleh Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM. Turut hadir Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan Tuan Haji M. Rozi Bidin, Pesuruhjaya JHEAT.
MAIDAM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pewakaf, agensi kerajaan, kontraktor serta masyarakat yang telah menjayakan pembangunan tanah wakaf perkuburan ini.