
2 Mac 2026 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke CIMB Islamic Bank Berhad yang diketuai oleh diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, YBhg. Dato, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Mal), YM Tengku Mohamad Hafiz Tg Hashim Badli, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Haji Nazli Amirri Ngah dan pegawai-pegawai MAIDAM.
Kunjungan hormat ini telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah sebagai tanda penghargaan kepada pembayar zakat perniagaan yang terus komited menunaikan tanggungjawab melalui MAIDAM. Kunjungan ini bukan sekadar pertemuan rasmi, malah menjadi platform penting untuk menyantuni rakan strategik serta memperkukuh hubungan antara institusi zakat dan perbankan Islam dalam memperkasa agenda pembangunan ummah.
CIMB Islamic Bank pula diketuai oleh Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, bersama barisan pengurusan kanan iaitu Ken Kamal, Ketua Serantau, Pembangunan Perniagaan dan Inisiatif Korporat, Mohd Zaid Othman, Pengarah, Pembangunan Perniagaan dan Inisiatif Korporat, Zarul Hafizh, Pengarah, Perbankan Korporat, Safie Fozi (Pengarah, Penasihat Shariah dan Tadbir Urus), Mohd Fadhil, Pengurus, Penasihat Shariah dan Tadbir Urus, Mohd Aniq Bahtiar, Pembantu Pengurus, Perbankan Korporat serta Wan Liyana, Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Inisiatif Korporat.
Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem kewangan Islam, memperluas kesedaran zakat perniagaan serta meneroka inisiatif bersama yang mampu memberi impak lebih besar kepada asnaf dan masyarakat secara keseluruhan. Turut dibincangkan ialah aspek pelaksanaan wakaf secara lebih tersusun dan berimpak tinggi, termasuk potensi kerjasama antara institusi zakat dan institusi kewangan Islam dalam memperkasa instrumen wakaf sebagai pelengkap kepada zakat. Sinergi ini diyakini dapat mempertingkatkan keberkesanan kutipan serta agihan dana umat secara lebih mampan, telus dan strategik.
MAIDAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak CIMB Islamic Bank Berhad atas kesudian menerima kunjungan ini serta komitmen berterusan dalam mendukung usaha memperkasa ekonomi ummah melalui instrumen kewangan Islam dan zakat. Semoga jalinan kerjasama ini terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama.