Kuala Nerus 3 September 2024 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan International Seminar on Contemporary Islamic Social Finance 2024 (INSAF 2024) di Dewan Perdana, kampus UniSZA Gong Badak. Seminar ini merupakan kesinambungan Seminar on Waqf Contemporary Society (SWICS) yang telah dilaksanakan pada tahun lepas. Penganjuran INSAF 2024 juga adalah bersempena merayakan sambutan 75 tahun penubuhan MAIDAM. Program ini diadakan bertujuan menggalakkan perkongsian pengalaman dalam pengurusan kewangan sosial Islam terutamanya zakat, wakaf dan takaful mikro. Ia turut mewujudkan jalinan kepakaran antara akademia, penggubal polisi dan pemain industri dalam bidang ini.
Dalam program ini ucaptama telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan yang bertajuk ‘Strategi Membasmi Kemiskinan Tegar: Antara Harapan dan Realiti’. Turut membuat pembentangan ialah Dr Hendri Tanjung, panel dari Badan Wakaf Indonesia dengan tajuk ‘Transformasi Kewangan Islam Sosial: Pengalaman Indonesia’.
Seterusnya forum zakat yang mana ahli panelnya ialah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadhil, Panel Penasihat Syariah Alliance Islamic Bank Berhad dan Ustaz Salehuddin Abu Samah dari Lembaga Zakat Selangor. Tajuk perbincangan lebih ke arah potensi penggunaan zakat sebagai pembiayaan mikro.
Untuk wakaf pula, pembentangan oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman dari Pusat Pungutan Zakat Wilayah (PPZ) dengan tajuk ‘Inisiatif VBI untuk Pemerkasaan Wakaf’. Ia diteruskan dengan forum oleh dua panel Puan Ratna Sha'erah Kamaludin, Executive Director of the Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dan Dr Mohd Ridzuan Mohamad daripada MAIDAM sendiri berkenaan potensi pemerkasaan wakaf.
Sesi terakhir ialah pembentangan dan forum Takaful Mikro yang dikendalikan oleh Prof Dr Fauzilah Salleh. Panel pembentang dan forum terdiri daripada Dr Mohamed Rafick Khan bin Abd Rahman, CEO of Munich Re Retakaful (MRR), Puan Yusaini Yusof, Head of Shariah, Prudential BSN Takaful Berhad dan En Mohd Raizal Mohd Rais, Chief Risk Officer, Hong Leong MSIG Takaful.
Perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr Shukor Abdul Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). INSAF 2023 turut dimeriahkan dengan penyerahan sumbangan MAIDAM termasuk bantuan bina rumah, bantuan modal perniagaan dan geran penyelidikan untuk penyelidik UniSZA dan UMT.
Penganjuran INSAF 2024 diharapkan dapat memacu sinergi kecemerlangan hubungan antara UniSZA dan MAIDAM dalam pemindahan ilmu, penyelidikan, khidmat komuniti dan perundingan dalam usaha memperkasakan praktis kewangan Islam sosial.
Sumber : FB UniSZA