
21 Januari 2025 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di ibu pejabatnya di sini hari ini. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM telah menyambut mesra dengan penuh ukhuwah delegasi LZNK yang diketuai oleh Ustaz Hazwan Syah Niezam Abdul Haniff, Ketua Divisyen Pengurusan Syariah & Dakwah LZNK.
Kunjungan ini bertujuan untuk mempelajari struktur dan proses kerja berkaitan tolakan perbelanjaan asasi bagi zakat pendapatan yang dilaksanakan oleh MAIDAM di samping perbincangan isu-isu semasa berkaitan pengurusan zakat, termasuk cabaran dan peluang dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membayar zakat secara konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menyifatkannya sebagai peluang terbaik untuk berkongsi pengalaman serta memperkukuh sinergi antara kedua-dua pihak.
“MAIDAM sentiasa terbuka untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai pengurusan zakat. Kami yakin perbincangan ini akan memberikan manfaat yang besar, bukan sahaja kepada kedua-dua institusi tetapi juga kepada masyarakat Islam keseluruhannya,” katanya.
Kerjasama strategik antara MAIDAM dan LZNK ini mencerminkan komitmen bersama untuk memartabatkan institusi zakat sebagai tunjang pembangunan sosioekonomi umat Islam di Malaysia.
Dengan perkongsian ilmu dan amalan terbaik seperti ini, institusi zakat di negara ini diyakini mampu terus relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks.