
24 Februari 2025 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mencatatkan peningkatan agihan zakat tahun 2024 sebanyak 23.65% berbanding tahun 2023. Sebanyak RM318,692,071.90 telah berjaya diagih pada tahun 2024 jauh melebihi angka agihan pada tahun 2023 iaitu RM257,739,867.90.
YBhg. Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM berkata demikian ketika Sidang Media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat MAIDAM Tahun 2024 yang turut dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
Agihan zakat kepada asnaf miskin merekodkan jumlah tertinggi sebanyak RM189,589,894.03 iaitu 59.49% daripada jumlah agihan keseluruhan sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun 2024. Asnaf fisabilillah pula dengan agihan kedua tertinggi berjumlah RM51,165,501.29 (16.5%) menerusi bantuan seperti ceramah keagamaan, elaun bulanan mubaligh, program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) serta pelbagai skim bantuan dalam sektor pendidikan. Tidak ketinggalan 8.73% agihan bantuan kepada asnaf fakir dengan jumlah RM27,816,027.44 untuk tahun 2024.

Turut diumumkan secara rasmi adalah prestasi kutipan zakat MAIDAM bagi tahun 2024 sebanyak RM275,962,960.55 dengan peningkatan 8.1% berbanding tahun 2023. Zakat pendapatan menyumbang kutipan tertinggi iaitu RM146,147,039.82 (52.96%) diikuti zakat perniagaan berjumlah 64,139,162.79 (23.24%), zakat wang simpanan sebanyak RM40,061,670.88 (14.52%) dan lain-lain sumber zakat seperti zakat fitrah dan harta.
Di atas kejayaan peningkatan prestasi kutipan dan agihan zakat sepanjang tahun 2024, MAIDAM merakamkan ucapan Jazakumullahu Khairan kepada semua pembayar zakat yang telah memberikan kepercayaan penuh kepada MAIDAM.
Setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam mendokong usaha MAIDAM melaksanakan agenda pembangunan ummah di negeri ini. Tidak lupa juga semua sahabat media yang sewajarnya dihargai dan diiktiraf atas komitmen dan kerjasama yang sentiasa diberikan selama ini.