
10 Mac 2025 - Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM bersama-sama 20 orang pegawai dan kakitangan MAIDAM telah turun padang menyantuni 60 orang murid sekolah rendah yang kurang berkemampuan bagi membeli pakaian dan kelengkapan Aidilfitri mereka di Mayang Mall, Kuala Terengganu hari ini.
Program penuh bermakna tersebut adalah sempena Projek Baju Raya Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Tahun 2025 dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Terengganu.
Inisiatif tahunan ini melibatkan murid-murid terpilih dari 10 buah sekolah rendah di daerah Setiu dan 6 buah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus yang bertujuan mengurangkan beban keluarga kurang berkemampuan dalam persiapan menyambut Hari Raya.

Program dimulakan dengan majlis penyerahan murid-murid tersebut sebagai anak angkat oleh YB Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Terengganu kepada pegawai dan kakitangan MAIDAM, ahli AKRAB serta ahli PUSPANITA di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu yang melambangkan simbol ikatan kasih sayang erat antara penjawat awam dengan masyarakat.
MAIDAM memperuntukkan sumbangan dana sebanyak RM18,000.00 dengan setiap murid menerima wang saku sebanyak RM300.00 di samping sumbangan wang saku oleh ibu bapa angkat kepada anak-anak ini.
Semoga program tanggungjawab sosial ini menghadirkan sinar gembira kepada murid-murid kurang berkemampuan dalam menyambut Syawal yang bakal menjelang tiba nanti.