
23 April 2025 bersamaan 24 Syawal 1446H - Dalam suasana penuh keberkatan dan kemeriahan, Majlis Yang Dipertua MAIDAM Bersama Ahli Majlis, Rakan Sinergi, Anak Syarikat dan Kakitangan Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya hari ini.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah medan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan seluruh warga kerja MAIDAM. Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM yang turut diiringi oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
Kedua-dua figura penting ini tampil menyampaikan pelbagai bentuk penghargaan yang cukup bermakna kepada warga MAIDAM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Dwibulanan Januari-Februari 2025 menyaksikan 12 orang pegawai dan kakitangan MAIDAM menerima pengiktirafan tersebut. Majlis disusuli dengan Anugerah Pejabat MAIDAM Daerah (PMD) Cemerlang Tahun 2023-2024 yang telah menobatkan PMD Besut sebagai pemenang tempat pertama, diikuti oleh PMD Kemaman dan Cawangan Kerteh di tempat kedua serta PMD Marang di tempat ketiga. Tahniah kepada semua!
Usaha meningkatkan kemahiran berkaitan bidang tugasan hakiki membolehkan Tc. Abdul Rahman Che Mohd beroleh Sijil Certified Technician hasil pengiktirafan rasmi sebagai Juruteknik Bertauliah daripada Lembaga Teknologis Malaysia.
MAIDAM turut merakamkan penghargaan dan doa tulus buat En. Mohd Din Awang yang menamatkan perkhidmatan secara wajib selepas hampir 31 tahun menabur bakti di MAIDAM.
Ucapan selamat maju jaya diucapkan kepada En. Abd Razak Abd Rahman, Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Mal) yang bakal memulakan tugas baharu di Pejabat Daerah Kuala Nerus mulai 4 Mei ini selepas empat tahun setengah bersama keluarga besar MAIDAM.
Dalam ucapannya, Dato’ Haji Shaikh Harun menekankan kepentingan memperkukuh semangat kerja berpasukan, memperkasa budaya kecemerlangan dan memupuk nilai akhlak Islam dalam setiap tugasan.
“Marilah kita terus menjadi suri teladan dalam penyampaian perkhidmatan serta menonjolkan keperibadian akhlak Islam yang terpuji dalam setiap tindakan dan keputusan kita di MAIDAM,” ujar Yang Dipertua MAIDAM lagi.
Mudah-mudahan, seluruh warga MAIDAM sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, diberi kesihatan, kekuatan dan keikhlasan dalam meneruskan khidmat demi agama, ummah dan negeri tercinta.