7 Mei 2025 - Semangat kasih sayang dan kepedulian terserlah dalam Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan KDYMM Sultan Terengganu yang berlangsung penuh meriah di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada hari Selasa, 6 Mei 2025.
Majlis penuh bermakna itu diserikan dengan keberangkatan KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultanah Terengganu.
Baginda berdua turut diiringi oleh DYTM Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, YAM Tengku Puteri Utama Raja dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan Baginda berdua disambut mesra oleh Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dan Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
KDYMM Sultan Terengganu dan KDYMM Sultanah Terengganu berkenan mengurniakan sumbangan kepada 400 orang jemputan istimewa yang terdiri daripada 100 orang asnaf fakir miskin di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), 200 orang warga istimewa dan Orang Kelainan Upaya (OKU) seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta 100 orang ibu tunggal yang bernaung di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Turut hadir dalam majlis penuh bermakna ini ialah Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Noraina Mardiah Wan Chik, Ketua Penolong Setiausaha (Khidmat Pengurusan) MAIDAM serta pegawai-pegawai dan kakitangan MAIDAM yang lain.