
27 Mei 2025 - Sebagai inisiatif memperkukuh hubungan strategik serta memperluas sinergi, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah menerima kunjungan hormat daripada Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP) seramai 19 orang hari ini.
Haji Mohd Azmi Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif PKZWP mengetuai delegasi PKZWP bersama-sama dengan Dr. Mohd Syakir Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf dan Haji Samsol Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat.
Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM menyambut mesra dalam suasana penuh ukhuwah delegasi PKZWP bersama barisan pengurusan kanan MAIDAM iaitu Tengku Mohamad Hafiz Tengku Hashim Badli, Ketua Penolong Setiausaha - Pengurusan Mal, Wan Noraina Mardiah Wan Chik, Ketua Penolong Setiausaha - Khidmat Pengurusan dan Haji Nazli Amirri Ngah, Ketua Penolong Setiausaha - Pengurusan Zakat.
Sesi perbincangan yang berlangsung membuka ruang berharga untuk bertukar pandangan serta amalan terbaik dalam pengurusan zakat dan wakaf, di samping meneroka potensi pelaksanaan program baharu berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan semasa serta tuntutan pembangunan ummah.
Pertemuan ini turut berperanan sebagai wadah mempererat ukhuwah dan memperluas jaringan kerjasama strategik melalui pendekatan yang lebih efisien, inklusif serta berteraskan maqasid syariah selaras dengan aspirasi ummah masa kini.