
24 Ogos 2025 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Lembaga Tabung Haji berjumlah RM7,802,250.33.
Majlis penyerahan zakat telah berlangsung di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu dengan disampaikan oleh Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah YB Dato’ Nara Setia (Setiausaha Kerajaan Terengganu), Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail (Yang Dipertua MAIDAM), YB Dato’ Dr. Haji Mohamad Sabri Haron (Mufti Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Pangkuan DiRaja) serta Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM).
Zakat yang disalurkan ini akan diagihkan melalui MAIDAM bagi memperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan ummah khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi golongan asnaf di negeri Terengganu.