
23 Oktober 2025 - Alhamdulillah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu telah berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2025.
Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato’ Seri Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Menyambut keberangkatan baginda ialah Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu), Dato’ Nara Setia (Setiausaha Kerajaan Terengganu), Mohd Nawawi Ismail (Penasihat Undang-undang Negeri), Dato’ Haji Mohd Azmi Mohamad Daham (Pegawai Kewangan Negeri), Dato’ Dr. Mohamad Sabri Harun (Ahli Dewan Pangkuan DiRaja merangkap Dato’ Mufti Negeri), Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail (Yang Dipertua MAIDAM) serta Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM).
Majlis ini membawa misi besar memperkukuh agenda wakaf negeri – meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyertaan rakyat, sektor awam dan swasta dalam memperkasa ekonomi ummah melalui wakaf tunai dan aset bagi manfaat pendidikan, kesihatan, keagamaan dan kemasyarakatan.
Baginda di dalam titahnya menzahirkan harapan agar MAIDAM terus memperkukuh tadbir urus wakaf dengan penuh amanah dan profesional.
“Tanggungjawab mengembangkan wakaf bukan hanya terletak di bahu pentadbir agama semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat termasuk golongan pemimpin, ahli korporat, usahawan dan masyarakat awam,” titah baginda lagi.
Pada majlis tersebut, baginda turut menyaksikan Yang Dipertua MAIDAM menyampaikan penghargaan MAIDAM kepada penyumbang wakaf aset serta wakaf tunai MAIDAM serta sesi Penyerahan Nota Kerjasama Strategik Wakaf MAIDAM daripada empat agensi.
Para penyumbang Wakaf Aset ialah Haji Puteh Muhammad yang mewakafkan tanah dan bangunan bernilai RM1,439,365.00 bagi manfaat Masjid Kg. Buluh Gading, tapak kubur dan Madrasah Darul Taqwa, Haji Azaiz Abdullah yang mewakafkan dua lot tanah bernilai RM860,000.00 dan Dato’ Haji Ibrahim @ A. Aziz Yaacob dan Nik Zaini Nik Mohamad Amin serta anak-anak yang mewakafkan enam lot tanah bernilai RM429,026.80.
Sumbangan Wakaf Tunai yang berjumlah RM445,000.00 pula adalah daripada KETENGAH, MAIDAM Property Sdn. Bhd. (MPSB), Showme Kidz International Sdn. Bhd., Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Zainabon Sulong, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Sementara itu, Penyerahan Nota Kerjasama Wakaf MAIDAM melibatkan jalinan kerjasama strategik dengan Showme Kidz International (pembangunan Kompleks Pendidikan Sri Showme di tanah wakaf seluas 1 ekar bernilai RM6.18 juta), KETENGAH (Skim Wakaf bagi pembangunan agama, pendidikan & kesihatan), BSN (platform sumbangan wakaf tunai kepada MAIDAM) dan UiTM Cawangan Terengganu (Dana Wakaf Khas bagi kebajikan & infrastruktur akademik).
Setinggi-tinggi penghargaan MAIDAM kepada semua penyumbang, rakan kerjasama dan pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis hari ini. Terima kasih semua atas sokongan padu yang diberikan — ayuh bersama kita perkasa agenda wakaf di negeri Terengganu demi manfaat ummah dan pembangunan negeri.