
5 November 2025 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM16.5 juta bagi agihan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) asnaf fakir dan miskin melalui Program Konvoi Agihan Hak Asnaf Fakir Miskin (KAHA) MAIDAM 2025 yang dilancarkan hari ini.
Buat julung kalinya, majlis induk KAHA diadakan di peringkat daerah dengan Pejabat MAIDAM Daerah Kuala Nerus dipilih sebagai tuan rumah. Serentak dengan itu, program KAHA turut dilaksanakan di semua daerah di seluruh negeri Terengganu, menandakan simbol kesatuan gerak kerja zakat demi kesejahteraan ummah.
Program KAHA MAIDAM 2025 bertujuan menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf fakir dan miskin melalui pendekatan ziarah dan santuni asnaf oleh pengurusan MAIDAM bersama para pembayar zakat.

KAHA MAIDAM 2025 memperkenalkan kaedah agihan tanpa tunai (cashless) yang membolehkan penerima menebus bantuan melalui rangkaian panel yang dilantik oleh MAIDAM dengan hanya menggunakan kad pengenalan.
Agihan dilaksanakan dalam dua fasa:
Fasa Pertama (1 Januari – 31 Ogos 2025) berjumlah RM13,448,600.00 kepada 25,162 Ketua Isi Rumah (KIR).
Fasa Kedua (1 September – 31 Disember 2025) pula menyasarkan 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan agihan bernilai RM3 juta.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail (Yang Dipertua MAIDAM) bertempat di Masjid Tebauk, Bukit Tunggal, Kuala Nerus. Turut hadir ialah Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan (Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM), Haji Azhar Abdul Hamid (Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri), Abd Razak Abd Rahman (Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus), Mohd Riduan Abu Bakar (Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tebauk), para pembayar zakat, wakil jabatan serta pengurusan MAIDAM.
MAIDAM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat atas keprihatinan dan kepercayaan yang berterusan dalam menyokong usaha memperkasa ummah melalui institusi zakat. Semoga keberkatan ini terus mengalir — daripada zakat yang ditunaikan, kepada rezeki yang dilipatgandakan dan mengekalkan kita semua dalam lindungan rahmat-Nya.