1 Januari 2025 (1 Rejab 1446) - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato' Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Pegawai Kewangan Negeri di pejabat beliau di Wisma Darul Iman hari ini.
YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM telah mengetuai kunjungan hormat tersebut yang turut disertai oleh pegawai-pegawai pengurusan tertinggi MAIDAM iaitu En. Abd. Razak Abd. Rahman, Ketua Penolong Setiausaha - Pengurusan Mal, Pn. Wan Noraina Mardiah Wan Chik, Ketua Penolong Setiausaha - Khidmat Pengurusan dan Haji Nazli Amirri Ngah, Ketua Penolong Setiausaha - Pengurusan Zakat.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkasa kerjasama selain bertukar pandangan serta perkongsian mengenai program utama MAIDAM bagi tahun 2025.
24 Disember 2024 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima serahan zakat perniagaan daripada Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat MAIDAM hari ini.
Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM telah menerima serahan zakat tersebut berjumlah RM109,993.08 daripada En. Nik Ariffin Mustapha, Pengurus ABM Wilayah Timur dan RM26,151.00 daripada Br. Muhammad Rizuan Hamzah, Pengarah CIDB Terengganu.
MAIDAM merakamkan penghargaan terima kasih kepada ABM Wilayah Timur dan CIDB di atas seraan zakat tersebut.
8 Disember 2024 - Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.4 juta daripada Etiqa Takaful dalam satu majlis serahan zakat di Istana Terengganu, Kuala Lumpur hari ini.
Penyerahan zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2023 itu diwakili oleh Encik Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad.
Majlis serahan zakat tersebut disaksikan oleh YB Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM dan Sahibus Samahah Dato' Dr. Haji Mohamad Sabri Haron, Mufti Kerajaan Negeri Terengganu.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM serta pegawai-pegawai Etiqa Takaful iaitu Encik Ahmad Murshidi Ahmad Mukhtar, Ketua Jabatan Syariah dan Encik Mohamad Noor Sahidi Johari, Ketua Penyelidikan Syariah dan Pusat Kecemerlangan.
8 Disember 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan MAIDAM sebanyak RM2 juta daripada peruntukan zakat sinf al-gharimin sebagai bantuan kepada mangsa banjir negeri Terengganu dalam satu majlis di Istana Terengganu, Kuala Lumpur hari ini.
YB Dato’ Nara Setia, Setiausaha Kerajaan Terengganu telah menerima serahan cek cura bantuan tersebut daripada YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM diiringi oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
Kerajaan Negeri akan menyelaraskan kaedah bantuan kepada mangsa banjir dengan cepat dan tepat. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kesulitan yang dihadapi oleh mangsa banjir. Terima kasih diucapkan kepada semua pembayar zakat MAIDAM. Berbanggalah menjadi pembayar zakat kerana anda sentiasa didoakan oleh para asnaf. Semoga terus istiqamah membayar zakat kepada MAIDAM.
30 November 2024 - YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM dan Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM menziarahi dan menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil hari ini.
Bantuan sebanyak RM6,000.00 itu disampaikan kepada Ruziah Puad, ibu kepada mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut iaitu Puteri Sajidah Azman, 16 tahun, dan adiknya, Siti Fatimah, 13.