

Kuala Terengganu, 14 Oktober 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima serahan zakat perniagaan berjumlah RM9.28 juta di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu hari ini.
Penyerahan zakat tersebut didahului oleh Encik Nor Shahrizan Sulaiman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic Berhad berjumlah RM1,267,418.82 bagi zakat perniagaan tahun berakhir 2023.
Sejurus selepas itu, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji (TH) pula menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2023 sebanyak RM8,018,890.00.
Menyaksikan majlis serahan zakat tersebut ialah YBM Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu, YB Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail, Yang Dipertua MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM dan Prof. Madya Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar, Timbalan Mufti Terengganu.
Turut hadir ialah Tuan Haji Nizan Johar Abdul Wahab, Pengarah Negeri, Lembaga Tabung Haji, Tuan Haji Mohd Yusalmie Shafie, Ketua Pentadbiran & Haji Negeri Terengganu, Encik Munawwaruzzaman Mahmud, Ketua Pengurusan Syariah, Maybak Islamic Berhad dan Encik Mat Zamri Hassan, Ketua Prestasi Perniagaan & Produktiviti Wilayah Pahang, Kelantan dan Terengganu.