Bank Rakyat menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2013 berjumlah RM1,101,922 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima zakat itu yang disampaikan Pengarah Urusannya, Dato’ Seri Alias Anor Abdul, di Istana Syarqiyyah, Chendering, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dr Zulkifly Muda; Yang Dipertua Maidam, Dato’ Bentara Luar, Dato’ Omar Pilus dan Ketua Pinjaman Modal Insan Bank Rakyat, Dato’ Mahmud Muhayiddin Mohamed Nawi.
Menurut Alias, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menunaikan zakat perniagaan, Bank Rakyat memperuntukkan RM1.1 juta zakat yang terkumpul dari keseluruhan RM41 juta zakat perniagaan di seluruh negeri pada tahun lalu kepada Maidam.
Katanya, terdapat peningkatan sebanyak 2.1 peratus jumlah zakat itu berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM1,078,890.
Pada 2013, Bank Rakyat memperuntukkan RM951,050 zakat kepada asnaf, fakir dan miskin di seluruh Malaysia.
Sumber : Teganukite.my