Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

Sejarah Penubuhan

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah ditubuhkan berdasarkan Fasal 4 Tambahan kepada Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1367 dan diwartakan sebagai Undang-undang Bilangan 1 Tahun 1949, atau dikenali dengan nama Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu. Secara rasminya MAIDAM ditubuhkan pada 16 Februari 1949. Menurut warta tersebut, Duli Yang Maha Mulia Sultan akan menyebabkan supaya dibuat Undang-Undang bagi maksud mengatur segala perkara agama dan mewujudkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu bagi membantu dan menasihatkan Duli Yang Maha Mulia dalam semua perkara yang berkaitan. Berdasarkan sejarah, sebelum tahun 1949, peranan MAIDAM dilaksanakan dibawah pentadbiran Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama yang juga bertindak sebagai Yang Dipertua MAIDAM.

Seterusnya pada 1986, enakmen tersebut digantikan dengan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1986 yang memperuntukkan dengan lebih jelas berkenaan dengan peranan MAIDAM dalam menasihati DYMM Tuanku Sultan berkenaan hal ehwal agama Islam dan adat melayu secara amnya. Dalam enakmen ini juga, seorang Setiausaha dilantik bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). 

Mulai 1 Jun 1991, DYTM. Tengku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah menjadi Yang Dipertua MAIDAM. Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua. 

Pada tahun 1992, pindaan enakmen dibuat bagi menukar lantikan Setiausaha bagi JHEAT kepada lantikan Setiausaha bagi Majlis. 

Mulai 1 Januari 1996, pelantikan Yang Dipertua MAIDAM, telah di ambil alih oleh YAB. Menteri Besar Terengganu dan secara automatik Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama sebagai Setiausaha Majlis.

Mulai 10 September 1998 pula, pemisahan pentadbiran antara MAIDAM dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dilaksanakan secara nyata apabila MAIDAM melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang juga bertindak sebagai ketua pentadbir dan setiausaha kepada mesyuarat-mesyuarat MAIDAM. Semua perkataan Jabatan dan Pesuruhjaya dalam enakmen ditukar kepada Majlis.

Seterusnya pada 22 November 2001, kerajaan telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2001M yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002. Pindaan-pindaan telah dibuat pada tahun 2003 dan 2008 yang melibatkan pelantikan Yang Dipertua Majlis bukan Menteri Besar dan keanggotaan Majlis yang lain.

Kerajaan Negeri, melalui Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 25 April 2012, telah meluluskan pindaan dua puluh seksyen di dalam Enakmen ini. Antara pindaan tersebut ialah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama akan menjadi Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Pindaan tahun 2018 pula telah menetapkan bahawa Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama tidak lagi menjalankan tugas sebagai Setiausaha Majlis malah Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama adalah anggota kepada Mesyuarat Majlis itu sendiri. Di samping itu, satu lagi keanggotaan Majlis telah bertukar daripada Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah kepada Ketua Pendakwa Syarie.

bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY