Dah Bayar Zakat?

Bayar ZAKAT secara atas talian di

ezakat.maidam.gov.my/online

Soalan Lazimhubungiaduanpeta

 
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Jawatankuasa Panel Peguam Syarie diamanahkan untuk mengawalselia proses pendaftaran Peguam Syarie yang ingin beramal di negeri Terengganu.

Kelayakan Sebagai Peguam Syarie
Menurut Kaedah-kaedah Peguam Syarie (Terengganu) 2015 -
  1. Mana-mana orang yang memenuhi syarat yang berikut adalah layak untuk menjadi seorang Peguam Syarie –
    • seorang yang beragama Islam
    • seorang warganegara Malaysia
    • berkelakuan baik dan
      • tidak pernah disabitkan di Malaysia atau di mana-mana tempat lain atas apa-apa kesalahan jenayah syariah atau sivil (di bawah Undang-Undang bertulis); dan
      • bukan seorang yang bankrap atau tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang dinyatakan di dalam perenggan 33(6) (a),(b),(c),(e),(f),(h),(k) atau (l) Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360]
    • tidak dipecat, hilang kelayakan atau digantung atas kapasitinya sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara
      • memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana Universiti atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di dalam subkaedah (2); atau
      • seorang Peguambela dan Peguamcara dan mempunyai Diploma atau Ijazah dalam bidang Undang-Undang atau Undang-Undang Syariah dari mana-mana Universiti atau Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia; dan
    • telah lulus ujian bertulis atau temuduga atau kedua-keduanya sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
  2. Penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di bawah subperenggan (1) (e) (i) hendaklah tertakluk kepada syarat berikut:
    1. jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia selain daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dia hendaklah juga memiliki –
      • Diploma Undang-Undang Pentadbiran dan Kehakiman Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa; atau
      • mana-mana Diploma Lepasan Ijazah yang setaraf dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia
    2. jika seseorang itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau setaraf dengannya, dengan syarat Jawatankuasa boleh, menurut budi bicaranya, mengecualikan apa-apa syarat yang dinyatakan di atas apabila permohonan dibuat kepadanya dengan disokong oleh keterangan yang memuaskan bahawa ada hal keadaan yang mewajarkan sesuatu syarat itu dikecualikan.
  3. Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Syariah dan Peguam Persekutuan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu atau mana-mana pegawai yang telah dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 [Akta 26] hendaklah disifatkan telah dilantik sebagai Peguam Syarie oleh Majlis di bawah Kaedah ini dan kaedah 17 adalah tidak terpakai bagi pegawai itu dan, pegawai itu boleh, jika tugas rasmi memerlukan, mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah.
Sijil Peguam Syarie
  1. Tiap-tiap orang yang diterima masuk menjadi Peguam Syarie hendaklah memiliki Sijil Peguam Syarie sebagaimana Jadual 2 yang akan ditauliahkan kepadanya oleh Majlis setelah dia menjelaskan fi yang ditetapkan.
  2. Fi bagi setiap Sijil Peguam Syarie ialah RM500.00.
Memperbaharui Sijil Amalan Guaman Syarie
  1. Tiap-tiap permohonan untuk memperbaharui Sijil Amalan Guaman Syarie hendaklah dibuat kepada Majlis tidak lewat dari tiga  bulan sebelum tamat tempoh sijil itu atau selewat-lewatnya pada 31 haribulan Oktober pada setiap tahun.
  2. Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan borang yang ditetapkan dalam Jadual 4.
  3. Fi bagi setiap Sijil Amalan Guaman Syarie adalah seperti berikut:
    1. jika permohonan sijil itu dibuat dalam tempoh yang ditetapkan oleh subkaedah (1), finya adalah RM100.00;
    2. jika permohonan sijil itu dibuat selepas tempoh yang ditetapkan oleh subkaedah (1), finya adalah seperti berikut:
      • jika permohonan dibuat dalam tempoh kurang dari dua bulan sebelum tamat tempoh sijil itu, finya ialah RM200.00
      • jika permohonan dibuat dalam tempoh satu bulan selepas tamat tempoh sijil, finya ialah RM300.00
      • jika permohonan dibuat selepas tempoh yang ditetapkan oleh perenggan (b) (ii) tetapi dibuat dalam tempoh dua bulan selepas tamat tempoh sijil, finya ialah RM400.00; dan
      • jika permohonan dibuat selepas tempoh yang ditetapkan oleh perenggan (b) (iii), finya ialah RM500.00
  1. Seseorang Peguam Syarie hendaklah memaklumkan kepada Jawatankuasa sekiranya dia
    1. tidak lagi beramal sebagai Peguam Syarie; atau
    2. ingin beramal semula setelah berhenti; dan fi yang dikenakan untuk memohon Sijil Amalan Guaman Syarie adalah sebanyak RM500.00, dengan syarat jika perenggan (a) tidak dipenuhi, maka fi yang dikenakan adalah sebanyak RM1,000.00. 
 
Untuk maklumat lanjut sila hubungi :
 
09-6303030 - Seksyen Pentadbiran & Undang-undang MAIDAM
 
bahasa melayu bahasa melayu Agihan Zakat Negeri Terengganu

privasi

TRDI NEWS TERENGGANU PAY