Ini terbukti sehingga kini tiada siapa yang mampu mencipta walaupun satu ayat bagi menandingi keindahan bahasa al-Quran walaupun setelah lebih 1,400 tahun cabaran dikemukakan kepada mereka yang ingkar dan meragui kebenaran al-Quran.
 
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian sempena Majlis Penutup Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 1436H/2015M di Stadium Mini, Sungai Tarom, Setiu, malam tadi.
 
Baginda turut berkenaan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua pemenang dan peserta tilawah kali ini.
 
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
 
Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Halina Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri 2015.
 
Hadir sama, Exco, ADUN dan pegawai kanan jabatan kerajaan negeri.
 
Sultan Mizan seterusnya bertitah bahawa penganjuran majlis tilawah al-Quran ini bukan sekadar untuk memperdengarkan kemerduan, kelunakan suara para qari atau qariahnya sahaja tetapi apa yang lebih penting adalah mesej dan pengertian yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibaca, dapat difahami dan diselami oleh hadirin.
 
“Islam wajib diletakkan pada tingkat yang paling tinggi selaras dengan kehadirannya di muka bumi ini secara kudus melalui hambaNya yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW.
 
“Ajaran yang dibawa oleh Islam adalah cukup sinonim dengan kejadian manusia iaitu mengajak ke arah membuat kebaikan dan menjauhi perkara-perkara dosa,” titah baginda.
 
Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama memupuk perpaduan dan mengamalkan sikap terbuka serta bersedia menerima perbezaan.
 
“Marilah kita sama-sama menguruskan kelainan dan perbezaan antara kita secara terhormat serta terpuji.
 
“Bertindak matanglah sesama kita untuk mencantumkan kelainan itu ke arah menghasilkan produk ummah yang bergelar ‘Ummatun Wasata’ yang bersedia untuk berlapang dada dan bertolak ansur sesama sendiri,” titah baginda lagi.
 
Dalam pertandingan itu, Mohamad Hafas Ali dari Marang muncul johan qari, manakala qariah pula dimenangi johan menunggu Nor Hidayah Abd Rahman dari Setiu.
 
Kemenangan itu membolehkan johan bagi kedua-dua kategori berkenaan membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil penyertaan, piala pusingan dan juga piala iringan.
 
Naib johan qari pula Ahmad Tarmizi Abd Rahman dari Kuala Terengganu dan tempat ketiga, Yahya Ali juga dari Kuala Terengganu, manakala tempat kedua qariah pula milik pasangan kembar Nor Hidayah, iaitu Nor Jannah (Kuala Terengganu) diikuti tempat ketiga Raziyati Mohd Ali.
 
Hadiah bagi pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM6,000 dan RM5,000 berserta  sijil penyertaan dan piala iringan.
 
 
 
Sumber : teganukita.my

Bilangan Pengunjung

Hari ini 664

Hari sebelum 793

Minggu ini 664

Bulan ini 10521

Jumlah 179358

Kubik-Rubik Joomla! Extensions

Awan Tag

Undian

Apakah Pandangan Anda Terhadap Laman Web Rasmi MAIDAM?