
Putrajaya - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mengadakan Bengkel Semakan Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MAIDAM 2024-2028 bersama Jabatan Digital Negara (JDN) pada 15-16 Ogos 2024 baru-baru ini di Everly Putrajaya Hotel, Putrajaya.
Bengkel ini merupakan bengkel kali keempat yang diadakan dalam proses membangunkan PSP MAIDAM 2024-2028 ini. Di peringkat negeri, MAIDAM dibantu oleh pasukan daripada Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, yang turut hadir dalam bengkel kali ini.
Pasukan JDN yang hadir seramai empat orang diketuai oleh En. Rummie Wisning, Timbalan Pengarah, Bahagian Perundingan Digital, JDN.
Dalam ucapan penutup, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM merakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan JDN dan BPTM SUK Terengganu atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada pasukan MAIDAM.
Seramai 30 orang pegawai dan kakitangan MAIDAM menghadiri bengkel ini.

KUALA TERENGGANU 12 Ogos 2024 bersamaan 7 Safar 1446 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Medic Iman Taman Desa Medical Centre (KMI TDMC) dalam satu majlis yang diadakan hari ini.
Dr. Azman Ibrahim, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KMI TDMC menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2023 berjumlah RM54,214.40 kepada Prof Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM.
KMI TDMC merupakan sebuah hospital pakar swasta milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang terletak di Taman Desa, Kuala Lumpur. Ia sebuah hospital pakar komuniti pelbagai disiplin yang menawarkan lebih daripada lebih 22 kepakaran.
Turut menghadiri majlis penyerahan zakat tersebut ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah KMI TMDC dan beberapa orang pegawai MAIDAM. Terima kasih KMI TDMC dan semoga zakat yang ditunaikan akan memberikan manfaat kepada golongan asnaf yang berhak.
Kuala Terengganu 8 Ogos 2024 bersamaan 3 Safar 1446 - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menerima kunjungan hormat dari Pelaburan Hartanah Berhad Asset Management (PHBAM) hari ini.
Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM telah mempengerusikan perbincangan yang diadakan semasa sesi kunjungan tersebut. Delegasi PHBAM diketuai oleh Encik Mohamad Damshal Awang Damit, Ketua Pegawai Eksekutif PHB.
Turut hadir Ketua-ketua Penolong Setiausaha MAIDAM serta pegawai-pegawai yang lain. Kunjungan ini adalah bertujuan bagi memaklumkan pertukaran Pengurus Dana Baru untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) selain dari membincangkan juga perkara lain bagi memperkukuhkan kerjasama strategik di antara kedua- dua agensi.
5 Ogos 2024 bersamaan 30 Muharam 1446 - Kursus Asas Kebakaran dan Latihan Pengungsian Bangunan (Fire Drill/Full Evacuation) yang melibatkan semua pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah diadakan di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu hari ini.
Taklimat bertajuk Keselamatan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan disampaikan oleh Puan Rozizah binti Abnihajar, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.
Sesi demonstrasi pula diadakan sejurus selesai taklimat dan dikendalikan oleh anggota-anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu. Sesi demonstrasi diadakan di ruang parkir kenderaan kakitangan MAIDAM.
29 Julai 2024 bersamaan 23 Muharam 1446H - Alhamdulillah, Program Pendidik Cakna Zon Selatan telah berjaya diadakan di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Seramai 286 guru daripada 143 buah sekolah di daerah Dungun dan Kemaman telah hadir memeriahkan majlis.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Promosi) MAIDAM berkisar topik wakalah majikan, zakat dan wakaf. Manakala wakil daripada Yayasan Pendidikan MAIDAM pula menyampaikan taklimat berkenaan bantuan persekolahan.
Dalam majlis tersebut, pihak MAIDAM telah menyerahkan wakalah majikan kepada dua buah sekolah di zon selatan yang telah memohon bagi tahun 2023. Turut disampaikan dua anugerah iaitu bagi kategori Jumlah Pembayar Tertinggi Potongan Zakat Berjadual (PZB) tahun 2023 dimenangi oleh SMK Sultan Ismail manakala bagi kategori Amaun Potongan Zakat Berjadual (PZB) Tertinggi bagi tahun 2023 pula dimenangi oleh SMK Tengku Intan Zaharah. Anugerah ini telah disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha (Khidmat Pengurusan) MAIDAM, Puan Wan Noraina Mardiah Wan Chik.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada guru-guru yang telah membuat Potongan Zakat Bulanan (PZB) kerana telah membantu para pelajar yang kurang berkemampuan di negeri Terengganu.